Muhyiddin kongsi pengalaman terima dos pertama vaksin Covid-19

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Nuhyiddin Yassin meminta agar semua pihak memainkan peranan masing-masing menyokong usaha kerajaan dan negara untuk melandaikan Covid-19.

Berkongsi keadaannya sehari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Muhyiddin memaklumkan beliau kini berada dalam keadaan sihat.

Beliau memaklumkan, berasa sihat tanpa demam atau rasa luar biasa selepas mendapatkan suntikan vaksin itu semalam.

“Assalamualaikum, apa khabar semua..sihat? Alhamdulillah hari ini hari kedua, semalam saya mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Semuanya berjalan dengan baik, saya yakin ini adalah vaksin yang selamat, vaksin yang berkesan. Jadi ramai tanya bagaimana keadaan saya hari ini.

“Alhamdulillah saya berasa sihat tiada rasa demam atau rasa luar biasa, makan macam biasa, selera pun macam biasa jadi bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik,” katanya menerusi video di Facebooknya.

Beliau mengajak rakyat Malaysia agar mendaftar diri di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

“Dengan cara kita beramai-ramai mendaftar diri kita untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya sudah ada dalam telefon saya dan semua data maklumat telah saya terima sejak semalam termasuk terima dos pertama, saya dah dapat tarikh bila masa saya akan mendapat dos yang kedua,” katanya.

Beliau memaklumkan akan mendapat suntikan dos kedua pada 17 Mac ini.

“Selepas itu baru saya diberikan sijil bahawa saya sudah selesai menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Jadi saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana keadaan yang masih baik dan sihat ini

” Saya juga mendoakan anda semua berada dalam keadaan sentiasa sihat, masih teruskan amalan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah menerima vaksin namun beliau tetap mengamalkan pematuhan SOP termasuk sentiasa memakai pelitup muka, cuci tangan, penjarakan sosial, elak tempat orang ramai. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/24/pm-terima-suntikan-vaksin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here