Menteri mana serang Presiden Umno?

0
1

Abang Long

Selepas kehangatan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Janda Baik, Jumaat lalu dengan pelbagai spekulasi termasuk isu jawatan Timbalan Perdana Menteri, tiba-tiba Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diserang dengan penyebaran buku “30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan”.

Penyebaran buku berkenaan pastinya berkait rapa dengan isu yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu jawatan Timbalan Perdana Menteri dan hubungan kerjasama Umno dengan Bersatu.

Siapa yang menyerang Presiden Umno? Pastinya pihak yang menyerang ini adalah mereka yang bercita-cita ingin menjadi Timbalan Perdana Menteri ataupun Presiden Umno.

Nama dalam kalangan Menteri Umno yang dikaitkan dengan jawatan berkenaan adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Keselamatan, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Adakah ini kerja Ismail Sabri?

Ya, adakah ini kerja Ismail Sabri. Ketika namanya dikaitkan dengan isu jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau antara individu yang tidak mempedulikan spekulasi itu.

Bahkan, beliau hanya melaksanakan tugasnya selaku Menteri Kanan Keselamatan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia SOP berkaitan Covid-19 ketika negara berdepan penularan wabak berkenaan.

Ismail Sabri ataupun kini digelar sebagai Pak Long Mail juga dilihat tidak mempunyai sebarang masalah dengan Presiden Umno, bahkan beliau seorang yang setia dan bersama Presiden dan parti mengharungi saat sukar selepas BN tewas dalam PRU-14 lalu.

Beliau tidak pernah melompat parti, apatah lagi bekerjasama dengan pihak lawan ketika parti lemah. Bahkan beliau bersama Presiden parti dan akar umbi membawa obor perjuangan Umno untuk rakyat meskipun dalam keadaan sukar. Tidak pernah sama sekali Ismail Sabri menyerang kepimpinan parti.

Tak mungkin juga Annuar Musa

Tak mungkin Annuar Musa melakukan kerja ini. Walaupun beliau berselisih faham dengan Presiden Umno, tapi agak mustahil untuk Annuar berbuat demikian.

Annuar tidak mampunyai akar umbi yang kuat dalam Umno. Dia tidak perlu membuat kerja bodoh dan membuang wang ringgit bagi berbuat demikian.

Kerana peluangnya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam pemilihan agak tipis kerana beliau tidak mempunyai sokongan akar umbi.

Mungkinkah ini kerja Hishammuddin?

Boleh jadi ya. Mengapa saya berkata demikian pasti ada alasannya. Ketika Umno jatuh, Umno tewas dalam PRU-14 di mana Hishammuddin?

Bahkan, ketika parti lemah dan memerlukan sokongan para pemimpinnya, Hishammuddin menarik diri daripada bergandingan untuk mengembalikan kekuatan Umno.

Hishammuddin juga dikaitkan sebagai orang tengah yang mengatur sokongan wakil rakyat Umno kepada Bersatu. Dia juga dikatakan pemimpin Umno yang “memegang” wakil rakyat Umno bagi menjamin sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan memastikan kerajaan PN terus kekal berkuasa.

Bekas Naib Presiden Umbo itu juga diketahui umum antara pemimpin Umno yang mempunyai hubungan istimewa dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hishammuddin juga menjadi orang tengah yang mengatur pertemuan wakil rakyat Umno dengan Azmin satu ketika dulu ketika era PH.

Justeru, sekiranya Presiden Umno berjaya ditumbangkan siapa yang untung? Hishammuddin pastinya akan meraih labanya. Jawatan Timbalan Perdana Menteri pasti menjadi milik dan ia pasti akan merencana sokongan bagi menduduki jawatan nombor satu parti selepas itu.

Dan jika Hishammuddin naik menjadi Presiden Umno, buat pertama kali dalam sejarah, Umno dipimpin bukan saja oleh seorang pengecut, tetapi juga oleh individu yang bacul yang hanya setia dengan parti ketika Umno kuat, sebaliknya menghilang ketika tiada kuasa.

Penulis adalah ahli akar umbi yang sayangkan Umno

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here