Cucuk vaksin Covid-19 macam nak pergi Mekah saja – MB Kelantan 

0
2

PENDUDUK Kelantan digesa supaya mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam usaha membendung penularan wabak berkenaan. 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membayangkan suntikan vaksin itu sama seperti suntikan diterima jemaah yang ingin ke Mekah. 

“Insya-Allah, ia macam kita nak pergi Mekah saja. Perdana Menteri pun sudah lakukan, Ketua Pengarah Kesihatan pun sudah terima suntikan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selepas menyambut ketibaan konvoi yang membawa 18, 720 dos vaksin Pfizer-BioTech pertama bagi Kelantan hari ini. 

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu pada 2 Mac ini. 

“Di Kelantan seramai 140 individu akan menerima suntikan pertama terdiri daripada kakitangan kerajaan (barisan hadapan), jentera pentadbiran, ulama dan ahli politik. 

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Kelantan supaya mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin menyambut ketibaan konvoi membawa bekalan 18, 720 dos vaksin pertama bagi Kelantan.

Bekalan itu dibawa dengan sebuah van syarikat perkhidmatan penghantaran yang diiringi pasukan polis.

Sementara itu Ahmad berkata, di Kelantan sebanyak 39 Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Covid-19 disediakan.

“Ia terdiri daripada hospital kerajaan, hospital universiti, pusat kesihatan tentera, dan klinik-klinik kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here