Tindakan tegas jika sebar maklumat bercanggah mengenai vaksin Covid-19

0
2

POLIS akan mengambil tindakan tegas jika terdapat individu menyebarkan kenyataan mengelirukan dan mencetuskan kegusaran mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat di negara ini.

“Mereka yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi individu pertama di negara ini yang menerima suntikan itu.

Namun, terdapat kelompok antivaksin dikesan mengeluarkan kenyataan menghasut masyarakat untuk menentang program itu dengan memberi pelbagai maklumat salah, alasan tidak munasabah serta bertentangan dengan ilmu sains. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here