Undang-undang seks luar tabii: Implikasi cukup besar kepada perundangan Syariah

0
1

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini, memutuskan badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah, memberi implikasi cukup besar kepada perundangan Syariah di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata ini khususnya dalam perkara berhubung dengan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dalam Enakmen Kesalahan/Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Katanya, ia bermaksud bahawa Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah Syariah sekiranya telah wujud peruntukan hampir sama dalam undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen.

“Keputusan tersebut akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri.

“Keputusan tersebut menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap “perintah agama” itu.

“Keputusan tersebut juga sebagai gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Musa berkata, ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, PGSM menggesa kerajaan negeri dan pihak-pihak lain berkepetingan lain mengambil tindakan secara drastik dan holistik untuk melihat dan mengkaji semula semua peruntukan undang-undang jenayah Syariah sedia ada.

“Ini bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa untuk diperkotak-katikan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau dilaporkan berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak berperlembagaan.

“Peruntukan itu (Seksyen 28) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya pada persidangan video menggunakan aplikasi Zoom.

Pada 14 Disember lalu, panel diketuai Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa seorang lelaki bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cubaan melakukan seks luar tabii.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Pada 14 Disember lalu, mahkamah mendengar hujah daripada peguam lelaki itu, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang berhujah bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan terbabit kerana perkara dalam peruntukan berkenaan, yakni seks luar tabii, terletak dalam Senarai Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here