Dari awal saya kata memang boleh bersidang- Aziz Bari

0
2
aziz bari

Najamuddin Mohd Nor

“Dari mula saya dah kata, memang boleh,” kata Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Abdul Aziz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi berkata, ramai yang tidak tahu bahawa proklamasi darurat sebenarnya telah meluaskan kuasa Ekskutif dan Parlimen.

“Saya menjunjung kasih titah Tuanku, rakyat tentu gembira dan tidak risau lagi mengenai ‘check and balance’ yang hanya boleh dilakukan di Parlimen.

“Adalah satu kesilapan untuk menganggap darurat menggantung Parlimen. Darurat tidak menggantung Parlimen, darurat meluaskan kuasa Eksekutif dan Parlimen,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu dititahkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin semalam.

Tambah Dr Abdul Aziz, Pilihanraya Umum (PRU) masih boleh diadakan ketika darurat sedang berlangsung.

“Darurat juga tidak menggantung pilihan raya. Kita dah banyak kali ada kan pilihanraya masa darurat

“Jangan lupa darurat 1969 hanya ditamatkan pada 2011. Dan antara 1969 dan 2011 banyak pilihan raya baik PRU atau PRN (Pilihanraya Negeri) telah diadakan. Begitu juga sidang Parlimen. Ini ramai yang tak sedar,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Dalam pada itu Dr Abdul Aziz bersetuju dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

“Prinsipnya mudah. Dalam keadaan biasa Agong ikut nasihat. Tetapi dalam keadaan luar biasa Agong tak perlu nasihat atau engkar nasihat. Ini yang tersirat di sebalik kenyataan ku Li itu

“Dengan kata lain sekiranya nasihat PM (Perdana Menteri) itu selaras dengan demokrasi maka ia perlu diikut. Tetapi jika nasihat PM itu bertentangan dengan demokrasi Agong tidak perlu ikut nasihat itu.

“Perlu dijelaskan bertindak ikut nasihat itu di sisi perlembagaan bermaksud nasihat yg selaras dgn demokrasi. Ia juga bermaksud nasihat PM yg tiada majoriti juga tidak boleh diikut.

“Itu prinsip yang penting. Yang rakyat perlu tahu. Dan saya setuju dgn kenyataan Ku Li. Sebab kalau nak tunggu nasihat PM ini mungkin tidak berlaku kerana PM takut ke parlimen sebab mungkin undi tak percaya akan diusulkan,” katanya.

Dalam pada itu, semalam Abdul Aziz telah selesai memberi keterangan kepada polis berkenaan kenyataan beliau mengenai proklamasi darurat di Facebook bulan lalu.

“Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis. Saya hadir ke balai polis dan layanan polis pun amat baik, itu adalah prosesnya dan kita tunggu sama ada saya akan didakwa atau tidak.

“Lepas tu serah kepada kamar Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here