Perlukah saya saman Ketua Pemuda, SUA Umno? – Maszlee

0
1

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memaklumkan ramai pihak meminta beliau memfailkan kes saman fitnah terhadap Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung Umno. 

Ia susulan kenyataan Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung buku teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa mengagungkan komunis yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Berikutan itu, Maszlee menerusi hantaran di Facebooknya hari ini meminta pandangan pengikutnya di laman sosial tersebut sama ada wajar atau tidak beliau memfailkan saman fitnah terhadap kedua-duanya. 

“Ramai minta saya memfailkan kes saman fitnah terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno dan SUA Umno semalam untuk memastikan budaya fitnah jahat dan berunsur perkauman begini tidak berulang lagi. 

“Adakah saya perlu bertindak? Mohon pandangan semua,” katanya. 

Semalam Asyraf Wajdi menerusi kenyataan berkata Pemuda Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM. 

Asyraf Wajdi mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah. 

Beliau mendakwa, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan. 

Ahmad Maslan pula menerusi ciapan di Twitternya semalam meminta KPM menolak buku teks Sejarah Tingkatan 4 atau memperbaiki, disunting dan dicetak semula. 

Sambil menyatakan kandungan buku tersebut sebagai perbuatan jenayah, Ahli Parlimen Pontian itu mahu KPM mengambil tindakan segera menanganinya. 

Menjelaskan mengenainya semalam, Maszlee berkata Asyraf Wajdi sepatutnya bertanya kepada Menteri Pendidikan dari Umno yang mengetuai KPM pada 2017. 

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan kurikulum Sejarah disemak semula pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bermula dengan murid Tingkatan Satu. 

Katanya, ia bererti, kohort murid-murid Tingkatan Satu 2017 akan memasuki Tingkatan Empat pada 2020.  

“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989. 

“Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here