Kluster Industri Sungai Gadut punca kes Negeri Sembilan melonjak

0
2

Nurul Huda Abhar

PENINGKATAN mendadak kes jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan disebabkan pengesanan aktif daripada Kluster Industri Sungai Gadut yang diumumkan kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu berpunca hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Seremban.

“Pada hari ini, sebanyak 1,338 kes baharu untuk kluster ini dilaporkan. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini sehingga kini adalah 1,432 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 318 kes merupakan warganegara manakala 1,114 kes bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Negeri Sembilan melaporkan kes harian tertinggi iaitu 1,392 kes (39.3 peratus), diikuti Selangor sebanyak 581 kes (16.4 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 381 kes (10.7 peratus).

Kes baharu jangkitan Covid-19 pula adalah 3,545, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara kini 291,774.

Sebanyak 29 kes (0.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (12 kes), Kluster Telok Mas (2 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here