‘Belajar PRU lepas, elak pertembungan 3 penjuru’ – Mursyidul Am PAS

0
2

PAS, Bersatu dan Umno dinasihatkan mengelak pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang hanya beri keuntungan kepada musuh.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata ketiga-tiga parti itu perlu bekerjasama dan jika tidak ia akan merugikan ummah dan dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan, PAS, Umno dan Bersatu semua akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Susah untuk kita mencapai kemenangan, sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Hashim berkata, kemenangan mungkin boleh berlaku dengan gandingan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) namun kekuatan makin bertambah dengan kehadiran Bersatu.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu PAS beria-ria menyatukan ketiga-tiga parti walaupun pada peringkat permulaan hanya dengan Umno tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu perlu ajak bersama Bersatu,” katanya.

Beliau berharap hubungan antara Umno dan Bersatu dapat diperbaiki kerana masing-masing mempunyai musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pendirian PAS masih sama iaitu memperkukuhkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan memperkasa hubungan dengan Bersatu melalui PN.

“Kita tidak akan berhenti mengajak UMNO dan Bersatu untuk bersama, malah usaha ini tidak akan berakhir dan berterusan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/pru15-armada-harap-umno-bersama-pn-elak-pertandingan-3-penjuru/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here