‘Saman pilih-pilih’ – Puad terus serang PM

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bagaikan tidak gentar dengan isu permohonan maaf dan saman RM10 juta apabila terus ‘menyerang’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi hantaran terbaru di Facebook, Mohd Puad mempersoalkan tindakan saman yang dikenakan terhadapnya bagaikan ‘dipilih-pilih’ terhadap sesuatu isu yang dibangkitkannya.

“Pada 1 Febuari lalu saya membuat posting bertajuk ‘Kes menantu: Empat soalan PM (Perdana Menteri) kena jawab’.

“Saya bertanya benarkah menantu PM Datuk Adlan Berhan adalah rakan kongsi syarikat IRIS yang dapat projek NIIS bernilai RM1.16 Bilion?

“PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau Muhyiddin langsung tidak jawab. Nafi pun tidak. Saman pun tidak juga,” katanya.

Mohd Puad berkata, tindakan berdiam diri dalam isu yang dibangkitkan beliau itu menimbulkan persoalan ramai.

“Kenapa? mungkin kalau ke mahkamah, banyak rahsia akan terdedah mengenai perniagaan dan kontrak yang diperolehi oleh menantu Perdana Menteri?

“Saya hanya disaman kerana bertanya kenapa tempoh kuarantin antara Menteri dan rakyat berbeza. Saman ini mungkin kurang ‘damage’ pada PM kalau dibicara di mahkamah,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan Mohd Puad mencabar Perdana Menteri untuk berdebat berhubung isu permohonan maaf dan saman RM10 juta yang dituntut Perdana Menteri terhadapnya.

Mohd Puad yang didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi satu hantaran Facebooknya pada 9 Februari lalu berkaitan isu kuarantin, menjelaskan peguamnya akan menjawab surat tuntutan (LOD) berkenaan.

“Hari ini Peguam saya akan menjawab surat LOD (letter of demand) Peguam TS Muhyiddin.

“Alhamdulillah lega. Selesai pusingan pertama. Maklumlah memang tidak biasa main peguam kerana tidak pernah disaman. Apa lagi saman oleh individu yang bertaraf Perdana Menteri.

“Rupanya dalam bab saman tidak timbul isu “antara dua darjat”. Satu hari nanti tidak mustahil akan ada nelayan, penoreh atau pemandu grab yang akan disaman oleh PM.” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/isu-saman-rm10-juta-puad-cabar-muhyiddin-berdebat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here