‘Kerajaan dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh dengan sebab sama’

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga.

Demikian kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi kenyataan bersama yang menjelaskan gabungan Umno, PAS dan Bersatu hanya menunggu masa untuk terlerai.

“Sebaliknya, kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrar, sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.

“Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihan raya negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk terlerai,” katanya kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu berkata, kini genap setahun peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui pintu belakang dengan alasan mahu mewujudkan pemerintahan yang didominasi oleh ‘Melayu-Islam’.

Katanya, rakyat dimomok dengan kisah dongeng bagaimana sebuah kerajaan ‘Melayu-Islam’ tanpa DAP perlu segera dibentuk demi kebaikan rakyat terutama Melayu dan umat Islam khususnya.

Tambah kenyataan itu, malangnya selepas setahun berlalu tiada agenda, misi dan pencapaian yang boleh dibanggakan dan memberi manfaat kepada rakyat merentas negeri, agama dan bangsa dari pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ itu.

“Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 dan tiada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini.

“Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga telah mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga sering mencanangkan mereka serius dalam melawan pandemik Covid-19 namun peruntukan kepada kawasan Parlimen Pembangkang dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap Parlimen Pembangkang.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu juga mempersoalkan apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi sejak pelaksanaan PKP yang bermula pada Mac tahun lalu.

“Malah lebih 9,000 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Penutupan beberapa kilang industri yang berpindah ke negara jiran hanya mengesahkan kerjasama Bersatu, Umno dan PAS dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lebih sekadar kosmetik dan jenama sahaja yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, gabungan tiga parti dalam kerajaan PN sepatutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan daripada luar kerana ia kerap kali mendakwa mereka adalah kerajaan stabil dan mempunyai keabsahan.

“Kestabilan tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya ia tidak berlaku sehingga hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here