PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Kampung Teluk, Setiawan, Perak dan Felda Triang, Bera, Pahang ditamatkan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Teluk, Setiawan, dan dijadualkan tamat esok.
Menurutnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 131 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif 26 kes positif telah direkodkan.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu selepas 17 Februari lalu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan setuju menamatkan PKPD di Kampung Teluk, Setiawan, esok seperti dijadualkan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, PKPD juga dilaksanakan Felda Triang 3, Bera, dan dijadualkan tamat pada 3 Mac ini.
“Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 237 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 11 kes positif telah direkodkan.
“KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti ini iaitu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata seramai 321 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Katanya, daripada jumlah itu, 286 dikompaun manakala 29 individu direman dan enam lagi dijamin.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (75), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (65) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran.
“Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (49), aktiviti pusat hiburan (30) dan lain-lain (47),” katanya.
Beliau turut memaklumkan, bagi kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng semalam, 17 pendatang asing tanpa izin dan empat tekong ditahan serta 11 kenderaan darat dirampas. – Malaysiapost

