Larangan rentas daerah, negeri terbukti turunkan kes harian – Ismail Sabri

0
2

USAHA kerajaan membendung penularan Covid-19 kini semakin menunjukkan impak positif dengan penurunan kes harian yang ketara berbanding hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun masih mencatat kes empat digit, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan salah satu sebab penurunan kes harian ialah langkah kerajaan mengawal pergerakan orang ramai merentas daerah dan negeri.

Menurutnya, langkah menyekat rentas daerah dan negeri dilakukan selepas mengambil iktibar susulan peningkatan kes ketika orang ramai terutama yang pulang ke kampung halaman masing-masing pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

“Kita difahamkan sebanyak 13 kluster wujud daripada aktiviti pulang kampung iaitu Kluster Balik Kampung

“Kes balik kampung dan percutian menjadikan banyak tempat tumpuan pelancongan seperti Pulau Langkawi mengalami peningkatan kes mendadak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail berkata, antara penyumbang lain terhadap penurunan kes Covid-19 adalah kepatuhan rakyat yang semakin tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan berdisplin, malah sentiasa peka terhadap persekitaran bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata, bagaimanapun masih terdapat beberapa kekeliruan terutama membabitkan pergerakan dalam daerah lebih 10 kilometer.

“Ramai yang tertanya sempadan daerah apa yang digunakan kerana ada dua iaitu sempadan daerah pentadbiran yang diketuai oleh Pegawai Daerah dan satu lagi adalah daerah polis.

“Sebenarnya dari dulu kita tidak pernah menggunakan daerah polis, tetapi menggunakan daerah pentadbiran bagi sekatan rentas daerah,” katanya.

Menurutnya, bagi yang telah dikenakan kompaun terhadap kekeliruan sedemikian, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun dikeluarkan.

“Selain itu, apbila dikenakan kompaun RM1,000 ramai yang keliru kerana ia jumlah maksimum dan orang ramai boleh membuat rayuan untuk mengurangkan kadar kompaun dengan alasan munasabah,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah mengarahkan hotel ditutup sama ada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP).

“Hotel sentiasa dibenarkan beroperasi dan jika ada yang ditutup susulan kekurangan pelanggan itu tiada kena mengena dengan arahan kerajaan

“Malah aktiviti pelancongan sekarang ini di kawasan PKPP dan PKPB telah dibenarkan beroperasi kecuali di kawasan PKP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here