Grup Riak Apa Hari Ini, Nak bergurau boleh tapi ikut cara Islam

0
1
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

Nurul Huda Abhar

JIKA bentuk gurauan yang dipamerkan di laman sosial bercanggah dengan ajaran Islam, maka ia harus dihindari agar ia tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Perkara itu ditegaskan pendakwah, Ahmad Husam Baderudin mengulas mengenai kewujudan grup baharu di Facebook dinamakan Riak Apa Hari Ini, yang pengikutnya kini mencecah 133,700 ahli.

Ahmad Husam yang juga Presiden Penyatuan Ummah Malaysia berkata umat Islam harus faham bahawa gurauan dalam agama ada batasan bagi mengelak wujud perasaan riak dan takbur.

Menurutnya, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam menunjukkan harta benda di laman sosial atas dasar gurauan kerana bimbang ia termasuk dalam sifat riak.

“Ini kerana riak itu penyumbang kepada sikap yang tidak baik. Lagi satu kita tayangkan gelang sehingga nampakkan aurat wanita, itu dah langgar sempadan.

“Nak tunjuk gelang, cincin, gelang dan baju. Had-had itu yang kita kena jaga,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Malaysiapost hari ini melaporkan, perkongsian dalam grup tersebut menarik perhatian ramai kerana ahlinya memaparkan harta benda termasuk barang kemas, wang, kereta mewah dan barangan berjenama dengan kapsyen ‘riak’.

Atas tiket ‘gurauan’, pengkongsian di grup itu mengundang kecaman kerana dikatakan tidak menghormati sensitiviti agama termasuk memaparkan aurat dan tulisan kapsyen yang boleh menimbulkan fitnah.

Sementara itu, Ahmad Husam berkata, umat Islam jangan terpengaruh dengan sesuatu yang tular sehingga bergurau melanggar sempadan agama.

“Saya bagi contoh grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni, mereka hanya tunjuk makanan apa yang masak tak menjadi, itu adalah gurauan.

“Jangan bergurau sampai bercanggah dengan agama. Contoh orang itu ambil gambar sedang membeli-belah untuk tunjuk tempat yang cantik tidak menjadi masalah.

“Tapi jika mempamerkan baju yang dipakai oleh seorang wanita, baju itu pula ketat sehingga menampakkan tubuh badan walaupun dia bertudung, itu tak dibenarkan walau sekadar gurauan,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, walaupun gurauan yang dianggap tidak bercanggah dengan Islam, masih juga perlu diteliti dan dilihat dari keseluruhan sudut agar tidak mendatangkan fitnah dan mudarat.

“Lepas ini bolehlah orang kata dia murtad lepas itu dia ketawa. Dan selepas itu dia beri tahu hanya bergurau. Jangan bergurau sampai berlebihan, itu tidak boleh,” katanya.

Katanya lagi, Islam membenarkan gurauan tetapi mestilah berada dalam lingkungan yang telah ditetapkan hukum syarak. – Malaysiapost


Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/grup-riak-apa-hari-ini-tempat-pengikut-fb-tayang-harta/?fbclid=IwAR2x3_pj8eC9q6F9lquxMYBAb8YxrPvAilXm_Ffe-vv3IJKRQRqidqn-ovA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here