Nurul Huda Abhar
ADAKAH anda masih ingat semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama yang diadakan pada Mac tahun lalu menaikkan nama grup Facebook (FB) Masak Apa Tak jadi Hari Ni, sehingga disebut dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terkini, dalam PKP 2.0 muncul pula grup baharu yang diberi nama ‘Riak Apa Hari Ini’ yang jumlah ahli sudah melangkau sebanyak 133,000 yang menyertainya.
Semakan di grup tersebut, ternyata tujuan utama diciptakan ruangan itu adalah sebagai tempat untuk pengikut FB ‘meriak’ tanpa rasa bersalah.

“Untuk geng-geng yang nak ‘show off’ tapi takde platform yang sesuai. So, di sini adalah tempat yang paling sesuai untuk ‘mengshowoffkan’ apa yang nak di show off itu.
“Dialu-alukan dengan caption yang lawak-lawak untuk menghiburkan rakan-rakan dalam group. Dipersilakan,” tulisnya di bahagian keterangan grup.

Netizen yang menyertai grup itu menyatakan terhibur dengan perkongsian yang dibuat pengikut yang rata-rata berlumba berusaha untuk menjadi riak dan menunjukkan ‘harta benda’ masing-masing.
Selain itu, kaspyen yang ditulis berunsurkan lawak jenaka menjadikan grup itu melucukan dan terdapat juga yang menulis di ruangan komen, mereka singgah ke grup itu untuk melepaskan tekanan seharian bekerja.
Malah, yang paling mencuit hati apabila di ruangan komen juga pengikut grup turut tidak mahu kalah ‘membahan’ perkongsian yang dibuat.

Satu perkongsian seorang ahli menunjukkan baharu sahaja membeli telefon jenama terkenal, Iphone 12 Pro Max yang ternilai sekitar RM5,000.
Namun, di ruangan komen terdapat tulisan yang lebih melucukan.
“Ini mesti pakai yang bayar bulan-bulan dengan Maxis atau Celcom ni.”
“Maaf sis, fon sis sama macam maid saya guna. Tak cukup riak ni sis.”
“Nanti hujung bulan jangan lupa bayar instalment fon tu ye,”
Bagaimanapun, perkongsian yang dibuat di grup itu menarik perhatian Ustazah Asma’ Harun, yang berpendapat grup itu hanya akan menimbulkan salah faham atas alasan ‘gurauan’.

Ini kerana, beliau berkata ahli grup itu berusaha untuk menunjukkan harta-benda tanpa menghiraukan aurat dan tuntutan agama.
“Mohon admin Group Riak Apa Hari Ini boleh tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan, perbualan bebas gurau senda lelaki perempuan, dedah aurat sebab nak tunjuk putih melepak dan emas sampi lengan.

“Tunjuk harta dengan caption riyak tapi kata gurau, share pakaian dalam dan lain-lain yang aib sangat. Jangan indahkan perkataan ria katas nama gurauan,” tulisnya. -Malaysiapost

