PEMANDU Perodua Myvi yang merempuh dua kenderaan termasuk salah sebuahnya terbalik di Bandar Kinrara, Serdang semalam, direman dua hari untuk membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata lelaki berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi, sebelum mahkamah membenarkan reman selama dua hari ke atasnya.
“Setakat ini keputusan ujian saringan dadah dan alkohol yang dijalankan ke atas lelaki itu negatif, namun ujian lanjut ke atas sampel darah suspek akan dilakukan untuk ujian tambahan.
“Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu akan dihantar untuk pemeriksaan oleh pakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Azman berkata, saksi bebas terutama yang memiliki rakaman ‘dash-cam’ berkaitan kemalangan itu diminta untuk tampil membantu siasatan polis.
“Saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 012-9845477 untuk menyalurkan maklumat.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifiksikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, pemandu van parah selepas kenderaannya terbalik dirempuh Myvi berkenaan, selain Proton Waja yang berada di kanan van remuk.
Seorang penunggang motosikal pula nyaris menjadi mangsa apabila berada beberapa meter di belakang van berkenaan.
Pemandu Myvi itu dikatakan cuba melarikan diri tetapi ditahan oleh orang awam yang kemudian menyerahkan kepada polis. – Malaysiapost

