AIM didakwa tidak bayar yuran kesatuan RM140,000

0
1
Kamarul Baharin Mansur

KESATUAN Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KEPAIM) hari ini membuat laporan polis berhubung isu tidak mendapat bayaran yuran bulanan sebanyak RM140,000.

Yuran kesatuan berkenaan dikatakan sudah dipotong oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada gaji pekerja, namun pihak kesatuan mendakwa tidak menerimanya sejak 10 bulan lalu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang turut serta bersama wakil KEPAIM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansur, berkata laporan polis itu dibuat supaya siasatan menyeluruh dilakukan berhubung isu berkenaan.

“Kita rasa ini satu ketidakadilan dan melanggar perjanjian bersama yang ditandatangani kesatuan dengan pihak syarikat.

“Jadi kami meminta agar AIM membayar semula yuran Kesatuan yang sudah di potong daripada gaji pekerja selama 10 bulan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan.

Menurutnya, KEPAIM juga sudah menghantar beberapa surat kepada AIM berhubung perkara ini tetapi sehingga kini tiada jawapan.

“Mungkin ada isu berkaitan, namun MTUC tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku dalam AIM.

“Difahamkan AIM ada menghantar surat kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja untuk membatalkan KEPAIM,” katanya.

Kamarul Baharain berkata, MTUC juga akan ambil tindakan susulan jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikan demi kepentingan pekerja.

Sementara itu, tindakan membuat laporan polis itu turut mendapat sokongan Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berharap pihak berkuasa dan kerajaan dapat menyiasat isu berkenaan kerana penubuhan AIM adalah dengan dana kerajaan.

“Kerajaan sewajarnyanya mengawal selia AIM yang ditubuhkan dengan dana kerajaan dan Ummah berharap pihak berkuasa menyiasat AIM secara menyeluruh,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here