Didakwa cuba tumpang populariti Ebit Lew, Uncle Kentang pertahan Annuar Musa

0
2

AKTIVIS masyarakat, Kuan Chen Heng atau Uncle Kentang mempertahankan usaha Tan Sri Annuar Musa untuk bekerjasama dengan pendakwah, Ebit Lew bagi membuka restoran percuma kepada pelanggan.

Chen Heng berkata, beliau tidak faham mengapa ada pihak mendakwa pembukaan restoran yang menyediakan juadah percuma kepada pelanggan akan menyebabkan orang ramai menjadi malas berusaha.

“Ramai yang kecam dan hina beliau kononnya tumpang (popularti) Ebit untuk buat restoran percuma. Orang kata kononnya beliau nak cari publisiti murah.

“Tak mengapa. Kita imbas balik Tan Sri Annuar punya kerja. Beliaulah yang bagi nyawa kepada orang susah di Kuala Lumpur, dibenarkan mereka yang susah berniaga di tepi jalan tanpa diganggu.

“TS Annuar arahkan DBKL supaya benarkan mereka (peniaga) untuk berniaga. Ia satu pendekatan agama yang baik kerana ramai dapat bernafas untuk hidup,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Chee Heng berkata beliau percaya Menteri Wilayah Persekutuan itu mempunyai cara tersendiri dalam menyediakan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan, misalnya mendaftar nama keluarga susah dan memberikan kupon.

“Saya lebih suka fikir yang positif dari negatif dan yakin Tan Sri Annuar bukan cari publisiti murahan dan beliau sentiasa fikir kebaikan untuk warga kota dan warga Ketereh serta rakyat Malaysia,” katanya.

Uncle Kentang menambah, semalam beliau menerima mesej yang memaklumkan Annuar sedia membina rumah untuk seorang ‘uncle’ Cina dengan kos ditanggung Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan.

“Beliau juga menyatakan hasrat nak jumpa uncle Cina yang tinggal dalam semak dan berikan telefon bimbit percuma,” katanya.

Semalam, Ebit menerusi hantaran di Facebook selepas pertemuan dengan Annuar berkata, pihaknya sedang merancang untuk meluaskan lagi kerja kemanusiaan dan kebajikan dengan membuka restoran yang menawarkan juadah percuma.

Dengan menyasarkan lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ebit memberi bayangan ‘Restoran Free’ itu akan menyediakan makanan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan kelaparan.

Perancangan itu telah dikongsi beliau dengan Annuar ketika pertemuan mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here