Mangsa tebing runtuh di Pasir Mas terima sumbangan kereta

0
1

SEORANG mangsa tebing runtuh di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas menangis gembira selepas menerima sumbangan kereta dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas, hari ini.

Nur Ain Ramli, 32, yang terharu dengan sumbangan itu menganggap ia ibarat anugerah bernilai bagi keluarganya selepas kehilangan tempat berteduh dan kenderaan sekali gus dalam kejadian Rabu lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur terima bantuan ini. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dan semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami.

“Dalam tempoh seminggu ini, kami sekeluarga menunggang motosikal untuk urusan harian. Jika ada urusan penting atau jauh kami akan meminjam kereta saudara,” katanya hari ini.

Kereta Proton Saga bagi memudahkan pergerakan harian Nur Ain, suami dan anak mereka berusia tujuh tahun diserahkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Chelagi awal pagi Rabu lalu, rumah dan kereta Perodua Myvi milik Nur Ain turut menjadi ‘korban’ terhumban ke bawah cerun.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menerusi Facebook memaklumkan pegawai di Pusat Khidmat merancang satu kejutan untuk Nur Ain selepas keretanya terjunam jatuh dan tiada perlindungan insuran untuk bencana alam seperti itu.

“Hasilnya, satu Proton Saga terpakai kami peruntukkan buat Puan Norain untuk kegunaan hariannya. Semoga ia sedikit sebanyak mengubat luka dan duka akibat tragedi yang tidak diduga ini.

“Terharu kami melihat kegembiraan di wajah beliau yang walaupun terkejut, berkali-kali merakamkan terima kasih. Kita sama-sama doakan agar episod duka tragedi ini segera berakhir Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:

  1. https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/tanah-runtuh-4-rumah-musnah-kerajaan-negeri-diminta-henti-korek-pasir/
  2. https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/tanah-runtuh-di-pasir-mas-polis-buka-pos-kawalan-24-jam-untuk-keselamatan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here