PLUS beri jaminan Jambatan Pulau Pinang selamat digunakan

0
2

PENGGUNA jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang tidak perlu bimbang terhadap keselamatan jambatan tersebut.

Pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ketika memberi jamiman itu berkata orang ramai masih boleh melalui jambatan tersebut kerana strukturnya masih kukuh meskipun berlaku insiden kebakaran kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam.

“PLUS memberi jaminan keseluruhan struktur jambatan masih kukuh dan selamat digunakan oleh orang ramai susulan insiden kebakaran kabel TNB di KM3.2 di jambatan itu semalam,” kata kenyataan PLUS hari ini.

Dalam kejadian semalam, api berjaya dipadamkan kira-kira jam 7:30 malam dan tiada kecederaan melibatkan pengguna jambatan dilaporkan.

PLUS juga mengesahkan lorong kanan di kedua-dua arah di lokasi kebakaran tersebut ditutup beberapa hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak TNB, bomba dan polis.

“Sepanjang tempoh ini, PLUS menggalakkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk mengelak kesesakan disebabkan oleh penutupan lorong tersebut,” kata PLUS.

Justeru, PLUS menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi PLUS secara percuma dan berinteraksi dengan Chatbot pertama lebuh raya iaitu PUTRI untuk mendapatkan maklumat trafik di Jambatan Pulau Pinang.

“PLUS akan terus menyalurkan maklumat trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik di lokasi strategik di lebuh raya termasuklah menerusi Twitter PLUSTrafik dan saluran media sosial dari masa ke masa,” kata PLUS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here