Rentas daerah: MKN tolak permohonan Melaka

0
1

MAJLIS Keselamatan Megara (MKN) menolak permohonan kerajaan Melaka untuk membenarkan aktiviti rentas daerah di negeri itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika mengesahkan keputusan itu berkata pihaknya akur dengan ketetapan MKN.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sebelum ini memohon agar larangan rentas daerah dilonggarkan memandangkan Melaka sebuah negeri kecil, selain ia dapat meningkatkan semula sektor pelancongan dalam negeri.

“Kementeriaan tidak benarkan, tunggulah sampai ia dibenarkan. Kalau dibenarkan, pelancong domestik ini boleh membantu meningkatkan sektor pelancongan Melaka, tetapi saya sudah mohon, masih belum lagi dibenarkan,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan Melaka membuat permohonan rasmi untuk membenarkan aktiviti rentas daerah dalam negeri itu bagi memulihkan semula ekonomi negeri.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata permohonan itu dibuat memandangkan Melaka sebuah negeri yang kecil yang hanya mempunyai tiga daerah.

Katanya, permintaan itu selari dengan tahap kepatuhan tinggi ditunjukkan penduduk Melaka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu apabila menduduki tangga ketiga kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertinggi dengan 98 peratus.

Semalam, Melaka mencatatkan 14 lagi kes baharu jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here