Ketibaan vaksin perlihat usaha kerajaan kekang Covid-19

0
2

KETIBAAN kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech memperlihatkan usaha dan perit jerih kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Norshida Ibrahim, berkata kesungguhan dan komitmen kerajaan termasuklah mereka yang dipertanggungjawabkan dan seterusnya digabungkan pelbagai pihak khususnya peranan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akhirnya membuahkan hasil.

Katanya, setelah pandemik menyerang negara awal tahun lalu, pelbagai inisiatif dijalankan dalam usaha mencari vaksin selain daripada pelbagai langkah lain diambil kementerian dan kerajaan dalam usaha menyelamatkan seluruh rakyat di negara ini.

“Selain untuk negeri-negeri lain, Johor juga antara negeri yang turut menerima kumpulan pertama Vaksin Covid-19 apabila vaksin tersebut dibawa terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura ke Tambak Johor.

“Tentunya ketibaan vaksin tersebut adalah satu perkara yang amat dinanti-nantikan oleh bangsa Johor dan Menteri Kesihatan, yang juga Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba yang sebelum itu turut berada di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) turut sama menyambutnya bersama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad di Tambak Johor.

“Kita percaya ketibaan vaksin untuk rakyat Johor khususnya merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh bangsa Johor itu sendiri dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama memperlihatkan keseriusan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Norshida yang juga Ketua Wanita Umno Segamat dalam pada itu melahirkan rasa kesal dan terkilan terhadap sikap segelintir pihak yang cuba memanipulasi serta cuba memainkan isu yang tidak sewajarnya berkaitan vaksin ini apabila cuba menjadi populis.

Katanya, dalam soal keselamatan rakyat seumpama ini, lihatlah secara mendalam bagaimana usaha kerajaan khususnya Dr Adham serta barisan hadapan yang lain dalam menghadapi cabaran penularan pandemik ini. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here