
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat berhubung isu permohonan maaf dan saman RM10 juta yang dituntut Perdana Menteri terhadapnya.
Mohd Puad yang didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi satu hantaran Facebooknya pada 9 Februari lalu berkaitan isu kuarantin, menjelaskan peguamnya akan menjawab surat tuntutan (LOD) berkenaan hari ini.
“Hari ini Peguam saya akan menjawab surat LOD (letter of demand) Peguam TS Muhyiddin.
“Alhamdulillah lega. Selesai pusingan pertama. Maklumlah memang tidak biasa main peguam kerana tidak pernah disaman. Apa lagi saman oleh individu yang bertaraf Perdana Menteri.
“Rupanya dalam bab saman tidak timbul isu “antara dua darjat”. Satu hari nanti tidak mustahil akan ada nelayan, penoreh atau pemandu grab yang akan disaman oleh PM.” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, Mohd Puad mengajak Muhyiddin berdebat berhubung isu itu sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
“Kalau begitu tidak salah saya berdebat dengan TS Muhyiddin sebelum berjumpa di Mahkamah. Orang tidak boleh kata, bukan taraf PM untuk berdebat dengan saya.
“Kalau saman boleh, kenapa debat tidak boleh? Semoga SINAR, ASTRO atau RTM boleh jadi host. Debat bukan kerana ego. Bukan untuk ‘cari siapa yang salah, tetapi cari apa yang salah’.” katanya.
Baru-baru ini, Muhyiddin menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.
Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad, Muhyiddin, antara lain, menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
