UMNO mesyuarat tapi mereka yang panas? sindir Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata ketika ini ada individu yang dulu melompat meninggalkan parti itu sewaktu Umno hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara.
Katanya, ada pihak yang tak henti-henti menyentuh tentang Umno hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan sedangkan mereka ini bukan ahli Umno.
“Ada juga yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan PH (Pakatan Harapan) dengan zaman BN (Barisan Nasional). Ya, barangkali rindu zaman BN.
“Tak apalah, kan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang telah menaikkan nama dan jadi batu loncatan mereka untuk mendapat kuasa.
“Mereka ini bersama dan mengaku orang Umno sewaktu parti berada dalam kejayaan tapi meninggalkan Umno malah ada yang menjadi sekutu menjatuhkan kerajaan BN lantaran rasa tak puas hati terhadap Umno,” katanya hari ini.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata ternyata sepanjang tempoh bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian kerajaan, terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh dijadikan tauladan.
“Siapa sebenarnya pejuang sebenar untuk agama, bangsa dan negara, siapa pula petualang yang menjadi bahana hinggakan rakyat duka lara, tapi masih nama Umno juga dipalitkan.
“Sungguh, Umno terbukti parti keramat. Menaikkan nama seseorang individu dari orang biasa menjadi pemimpin ternama hinggakan ada yang menjadi negarawan, tapi kerana ketidakpuasan rasa, Umno juga djadikan alat kebencian dan cuba dipersalahkan atas pelbagai kesalahan peribadinya.
“Namun yang peliknya sejak beberapa hari ini kedengaran suara mereka berkata masih sayangkan Umno, mulalah mengakui U,np banyak berjasa. Nama Umno juga dijaja dalam pentas politik mereka biarpun mereka bukan lagi ahli. Apa rasa… tentulah seakan sebuah sandiwara semasa,” katanya.
Beliau juga seakan menyindir bagi mereka yang mahu kembali kepada parti itu perlu menyertai bengkel untuk memahami asas dan tujuan Umno.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/waspada-manipulasi-sentimen-kaum-oleh-ahli-politik-pm/

