MESYUARAT Badan Perhubungan Selangor Perikatan Nasional (PN) hari ini sebulat suara melantik Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Selangor, Datuk Ang Chin Tat sebagai Naib Pengerusi PN di negeri berkenaan.
Jawatan tersebut turut disandang oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, dan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyertaan Gerakan ke dalam Perikatan Nasional adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra dan membuktikan dasar PN yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.
“Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha Perikatan Nasional untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial.
“Perikatan Nasional juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmin berkata, PN Selangor akan memberikan fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar dan kebijakan demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial.
“Sebagai sebuah kerjasama politik, Perikatan Nasional bertekad untuk memartabatkan jati diri bangsa Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai kesatuan yang utuh dan dinamik,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Badan Perhubungan Selangor mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Dan pasca pilihan raya untuk membentuk Kerajaan yang utuh dan stabil dengan penyertaan parti-parti anggota yang lebih unggul dan peranan yang dinamik,” katanya.
Gerakan secara rasminya menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri PN Selangor semalam.
Ini merupakan penglibatan sulung Gerakan di peringkat negeri selepas pengumuman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung penyertaan Gerakan sebagai parti anggota itu pada 11 Februari lalu .Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/11/gerakan-kini-parti-komponen-pn/

