Sekolah dibuka: Pengusaha bas sekolah lega, harap tak ada lagi keputusan ‘flip flop’

0
3

Nilam Oshman

PENGUSAHA bas sekolah lega dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan Mac ini, namun mengakui bimbang tindakan penutupan sekolah secara tiba-tiba berulang.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata walaupun perkara itu memberi kelegaan kepada pengusaha bas sekolah, namun pihaknya ‘trauma’ dengan keputusan ‘flip flop’ kerajaan seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Kita bersyukur dengan keputusan ini. Namun pengusaha bas serik sekiranya sekali lagi keputusan membuka dan menutup sekolah secara ‘flip flop’ dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti 20 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, selepas perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, pengusaha-pengusaha bas akan bersiap sedia melakukan penyelenggaraan bas sekolah masing-masing yang memakan kos mencecah ribuan ringgit.

“Setiap kali kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah, secara tak langsung kami akan lakukan servis, buat insurans, road tax dan lain-lain, ianya bukan kos yang sikit tetapi makan ribuan ringgit.

“Jadi dengan kos yang sudah dibelanja itu, tiba-tiba tak jadi buka.. kita pun pening kepalalah, sebab duit tak masuk,” katanya kepada Malaysiapost.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan KPM tidak mengambil mudah dan memandang remeh hal ini yang memberi kesan terhadap pengusaha bas sekolah.

“Ia menjadi masalah besar kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah kerana bila tak ada kerja tak ada gaji. Lainlah mereka yang makan gaji… kerja tak kerja gaji masuk.

“Bagaimana lagi pengusaha bas sekolah ini harus bertahan sekiranya wang asyik keluar namun modal tidak dapat semula.

“Bantuan kerajaan pun dalam Mac baru dapat, jadi apa akan jadi dengan mereka (jika keputusan flip flop lagi) untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sekarang ini,” ujarnya.

Amali berkata, beliau bukan menafikan takdir, bahawa pembukaan dan penutupan sekolah bergantung kepada situasi Covid-19.

“Cuma apa kita nak sekiranya sekolah tidak dibuka seperti yang dijadual oleh KPM, kita minta kerajaan bagi elaun kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah setiap bulan sehingga sekolah dibuka,” katanya.

Sementara itu, pengusaha bas sekolah LY Qaseh, Suhaili Hassan berharap keputusan pembukaan sekolah ini akan berterusan, dan tidak ada lagi keputusan ‘flip flop’ berulang.

Beliau turut bersyukur kerana sudah boleh mencari pendapatan semula.

Bagi pengusaha bas sekolah, Saadiah Ismail pula berkata, dia menarik nafas lega namun masih bimbang sekiranya KPM menarik semula keputusan untuk membuka sekolah pada Mac ini.

“Sukalah (keputusan buka sekolah)sehingga lakukan sujud syukur. Cuma kita risau bila dah buka ada sesetengah ibu bapa tidak puas hati juga kalau buka tiba-tiba ‘lockdown’ balik sebab angka (kes positif Covid-19) tak turun, Selangor masih lagi tinggi.

“Bagi pengusaha bas sekolah kita memang bersyukur, memang itu kita nak sekolah dibuka, sebab dah dekat setahun. (Kami) enam bulan tak ada gaji. Memang (keputusan pembukaan sekolah) ditunggu-tunggu,” katanya.

Beliau berkata, persiapan bas sekolah sudah dilakukan sejak awal tahun lalu.

“Semua dah tukar dah lengkap cuma insurans bank kena diperbaharui semula, Puspakom pun dah selesai, memang dah ‘standby’.. kita geng bas sekolah (GBS) ini dah siap sedia pada awal tahun hari itu,” katanya.

Kata Saadiah, mereka akan berikan komitmen untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Sekarang ini suami tidak dapat berkerja lagi, jadi dengan satu pendapatan ini (bas sekolah), Walaupun dapat sikit pendapatan dalam RM1,000, Alhamdulillah syukur sangat sebab sekarang ini satu sen pun tak masuk, bayangkanlah,” katanya.Dalam pada itu, Pengusaha bas Awisad Enterprise itu turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap ibu bapa yang menuntut kembali pembayaran yang sudah dilakukan dan ia sama sekali tidak wajar.

Katanya, ketika sekolah nak dibuka semua ibu bapa akan mula mencari perkhidmatan bas sekolah.

“Mereka (ibu bapa) akan kata tidak kisah berapa pembayaran dikenakan tapi bila ‘lockdown’ dan dia dah bayar untuk sebulan, dia akan minta balik.

“Itulah perkara yang kita risau. Sebab ada ibu bapa yang nak balik duit mereka sebab tak cukup sebulan (naik bas sekolah),” ujarnya.

Menurutnya, hanya segelintir ibu bapa bersikap demikian, namun ia menyukarkan lagi keadaan pengusaha bas yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Covid-19.

“Ada antara mereka nak saman dan burukkan GBS di media sosial kerana tak pulangkan semula duit,” katanya.

Beliau berkata, sebelum Covid-19 lagi, ibu bapa sudah diberitahu bahawa mereka tidak boleh meminta kembali wang tersebut kerana kedua-dua pihak sudah berurusan dan bersetuju dengan perjanjian ini.

“Walaupun tiada kontrak (dibuat) namun kita dah berjanji.. cuti sekolah ke atau mereka sendiri yang tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah dalam seminggu itu bukan urusan kami, mereka kena bayar.

“Oleh itu, kerajaan nak ‘shutdown’ ke ‘lockdown’ ke.. bagitahu awal-awal. Saya sangat risau perkara begini (ibu bapa yang tidak memahami situasi dan perkara yang dipersetujui),” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here