‘MUNGKIN mesyuarat di gunung tempoh hari meresahkan banyak pihak termasuk ahli,’ kata Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, adalah lebih baik pihak yang ghairah dalam soal Umno diam terutama pihak dari luar parti itu.
“Ada pulak ahli MT (Majlis Tertinggi) PPBM (Bersatu) meminta Umno mengumumkan keputusan rasmi mesyuarat MKT (Majlis Kerjas Teringgi) Umno di Janda Baik beberapa hari lalu.
“Saya merasakan tidak perlu bagi PPBM terlalu ghairah dengan soal dalaman Umno. Apa lagi bagi mereka yang baru. Mereka belum faham cara politik Umno. Elok mereka diam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, MKT Umno ada kebijaksanaan yang tersendiri.
“Ia mempunyai tradisi serta pengalaman melalui pelbagai situasi politik. Saya percaya itulah yg sedang berlaku.
“Mungkin sepinya mesyuarat di gunung tempoh hari meresahkan banyak pihak, termasuk dalam kalangan ahli.
“Namun memahami cara Umno, meskipun tiada kenyataan rasmi,namun ‘deafening silence’ itu boleh kedengaran dengan jelas di mana-mana,” katanya.
Beliau juga meminta semua pihak memberi ruang kepada Umno menguruskan masalahnya sendiri.
“Umno mampu mencari titik penyelesaiannya sendiri. Tiada siapa boleh veto sesiapa dalam Umno kerana Umno itu milik ahlinya. Ahli yang menentukan, sabar,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

