Tempoh daftar vaksin Covid-19 tidak ditutup

0
2

TEMPOH pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tidak akan ditutup dan orang ramai boleh mendaftar bermula 1 Mac ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata pendaftaran itu akan berlangsung sehingga mencapai sasaran pemberian vaksin kepada 70 hingga 80 peratus rakyat negara ini.

“Tempoh pendaftaran terbuka, tidak akan ditutup sehingga selesai sasaran 70-80 peratus rakyat divaksinasi,” katanya pada majlis penyerahan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat lima kaedah pendaftaran ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mempermudahkan orang ramai untuk mendaftar melalui pelbagai saluran.

Lima kaedah itu adalah melalui MySejahtera, laman sesawang, telefon dan mengenal pasti kumpulan sasar.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pada masa ini kerajaan kekal dengan dasar dua dos suntikan vaksin Pfizer-Biontech diberi kepada rakyat.

Ini di sebalik terdapat perkembangan baharu bahawa vaksin tersebut mempunyai tahap keberkesanan 85 peratus hanya melalui satu dos suntikan.

Katanya, suntikan kedua akan diberi selepas 21 hari suntikan pertama.

Beliau berkata, kerajaan juga belum membuat apa-apa keputusan untuk mewajibkan suntikan vaksin dan ia merupakan tindakan sukarela oleh rakyat.

“Namun, jika tidak ramai yang mendaftar untuk penerimaan vaksin ini mungkin ada polisi lain yang akan dibuat kerajaan yang dibincangkan kemudian,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/21/pasport-vaksin-jadi-dokumen-pengesahan-individu-telah-terima-suntikan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here