Pendaftaran vaksin melalui MySejahtera, Klinik Kesihatan

0
3

RAKYAT Sarawak kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma melalui aplikasi MySejahtera atau klinik kesihatan berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan menerusi aplikasi berkenaan di telefon bimbit masing-masing.

Menurutnya, bagi rakyat Sarawak yang tidak mempunyai aplikasi itu, mereka boleh menghubungi klinik kesihatan dan pejabat daerah berdekatan.

“Kami kini membuka pendaftaran vaksin Covid-19. Ada dua cara pertama boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau pergi ke klinik kesihatan dan pejabat daerah,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Selain itu, Uggah menasihatkan orang ramai agar tidak mendaftar menerusi pihak luar yang mendakwa membantu proses pendaftaran kerana dikhuatiri disalah guna.

Beliau turut menasihatkan penduduk di pedalaman agar berhubung dengan ketua kaum atau ketua masyarakat sekiranya memerlukan penjelasan lebih lanjut.

“Saya berharap semua rakyat Sarawak mendaftar untuk program vaksinasi ini yang dijangka bermula hujung bulan melibatkan tiga fasa.

“Program vaksinasi sangat penting dalam usaha kita melindungi diri kita serta menghentikan atau mengawal penyebaran jangkitan. Apabila kita dapat melindungi diri kita sendiri, kita juga dapat melindungi keluarga dan masyarakat kita, sekali gus dapat kembali kepada rutin biasa kita,” katanya.

Beliau juga berharap rakyat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu di media sosial mengenai vaksin tersebut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here