KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyifatkan perbuatan penyampai radio yang mengecam dan mentertawakan penyampaian guru Sains yang mengajar dalam bahasa Inggeris menerusi saluran Didik TV semalam sebagai buli siber.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi guru berkenaan hanya menjalankan tanggungjawabnya mendidik pelajar.
“Saya sangat bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap guru berkenaan sehingga dikecam dan tidak sepatutnya itu dilakukan netizen.
“Begitu juga tidak sesuai untuk kita marah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana saluran DidikTV masih baharu bermula dan pasti ada kelemahan.
“Tindakan netizen menghentam guru itu boleh dianggap sebagai buli siber,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Saifuddin turut menegaskan, akta anti buli perlu diwujudkan bagi menangani masalah itu, yang boleh menyebabkan mangsa berdepan masalah seperti kemurungan, selain pernah berlaku kejadian bunuh diri dipercayai berpunca daripadanya.
“Kita ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan, namun berkaitan dengan buli siber, kajian oleh KKMM dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sebelum ini mendapati, lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat kita memerlukan undang-undang khusus bagi buli siber,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya bersedia membantu KPM dalam penyediaan kandungan DidikTV dan berkongsi kepakaran sedia ada seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“Kita ada kepakaran yang boleh bantu untuk menambah baik saluran DidikTV,” katanya.
Semalam, menerusi laporan media, seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak itu memuat naik video tiktok, mentertawakan seorang guru yang kurang fasih bertutur bahasa Inggeris hingga mengundang kecaman netizen.
Bagaimanapun, penyampai radio itu memohon maaf atas ketelanjurannya dan dalam masa sama turut digantung kerja oleh pengurusan stesen radio berkenaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

