PELAKSANAAN Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang ditamatkan hari ini.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan dan dijadualkan tamat pada 25 Februari ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak tiga kes positif telah direkodkan.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini terkawal dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenalpasti, disampel serta diasingkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang pada hari ini, 20 Februari iaitu lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, PKPD akan dilaksanakan di Taman-Taman Perumahan Sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang bermula esok hingga 6 Mac 2021.
Katanya, KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di taman-taman perumahan tersebut.
“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak, di mana sehingga kini sebanyak 72 kes telah dilaporkan melibatkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan ini.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang bermula 21 Februari sehingga 6 Mac ini.
“PKPD ini melibatkan 10 taman iaitu Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4 , Taman Kelisa dan Desa Bangau,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/calon-spm-di-kawasan-pkpd-tetap-perlu-duduki-peperiksaan/

