LZS bantu wanita mualaf hidup gelandangan dalam kereta

0
2

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan kepada seorang wanita mualaf yang hidup gelandangan di dalam kereta sejak dua bulan lalu selepas dihalau keluar dari rumah sewa.

Difahamkan, ibu tunggal berusia 42 tahun yang mempunyai dua anak itu terpaksa hidup merempat selepas perniagaannya berdepan masalah.

LZS memaklumkan, sebaik saja mendapat maklumat mengenai keadaan wanita itu, pihaknya segera mencari dan menemuinya di Kuala Lumpur semalam.

“Berdasarkan rekod, wanita itu memeluk Islam pada 2009 di Bangi manakala alamat yang tertera di kad pengenalan diri adalah alamat keluarganya yang bukan Islam.

“Sebelum ini, dia menyewa sebuah kondominium di Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan kadar sewa RM1,900 sebulan, bagaimanapun mereka terpaksa keluar kerana tidak dapat melunas tunggakan sewa.

“Difahamkan, wanita itu menjalankan perniagaan perabot bagaimanapun disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta terbeban dengan hutang lama, perniagaan tidak dapat diteruskan dan akaun syarikat dibekukan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

LZS turut memaklumkan wanita itu pernah diberi bantuan kecemasan dan pihak LZS juga menyerahkan borang bancian untuk semakan semula kelayakan fakir miskin kepadanya.

“Wanita itu sekarang (berada) di sekitar pusat beli-belah SOGO dan kes dipanjangkan ke Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya.

Dalam pada itu, wanita berkenaan juga meminta agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat mengenai keadaan dirinya yang sebelum ini tular di WhatsApp kerana bimbang keadaan kesihatan bapanya yang tidak begitu baik.

Sebelum itu, satu kenyataan oleh seorang wanita tular di applikasi tersebut yang mendakwa dirinya kini hidup gelandangan selepas perniagaannya berdepan masalah.

Wanita terbabit yang juga seorang mualaf mendakwa sudah dua bulan tinggal di dalam kereta dan kini berdepan masalah baharu apabila cukai jalan kenderaannya sudah tamat tempoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here