Juruterbang pesawat komersial tak malu bergelar ‘pilot lori’

0
2

SEBELUM ini Kapten Izzat Hakimi Izham Nawi, 30, menerbangkan pesawat penumpang komersial, tetapi kini tugasnya berubah menjadi ‘pilot lori’.

Menurut Izzat Hakimi, beliau mengambil keputusan untuk beralih menjadi pilot lori kerana pendapatannya sebagai juruterbang telah dikurangkan sebanyak 80 peratus berikutan pandemik Covid-19.

Beliau yang berasal dari Shah Alam, kini hanya menerbangkan pesawat penumpang komersial ke lokasi domestik sekali dalam seminggu.

Oleh itu, sebagai inisiatif lain untuk meneruskan pendapatan harian, Izzat Hakimi memilih membuat kerja kedua memandu lori menghantar perabot ke seluruh negara.

Kredit foto : NSTP

Beliau mengakui pada awalnya telah mencuba menjadi penghantar makanan tetapi berhenti selepas seminggu kerana pekerjaan itu tidak sesuai dengannya.

Selain itu, beliau bimbang dengan peningkatan kes kematian melibatkan ‘rider’ di jalan raya ketika menghantar makanan.

Tidak terhenti di situ, Izzat Hakimi kemudian menjadi pekerja penghantaran perabot dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kerana nekad, Izzat Hakimi hanya melakukan kerja itu bersendirian dan mengakui kadang-kadang terpaksa meminta pertolongan pelanggan untuk mengangkat perabot bersaiz lebih besar.

Kini, bapa kepada tiga cahaya mata itu berjaya membeli sebuah lori tiga tan bagi khidmat penghantaran perabot.

Ini membolehkannya memindahkan lebih banyak perabot dan sekarang Izzat Hakimi dibantu lima rakan, ada antaranya masih juruterbang sementara yang lain diberhentikan.

Izzat Hakimi dibantu oleh lima rakannya

Menurutnya, walaupun gaji tidak sama dengan juruterbang, ia membantu tampung kehidupan membeli barang keperluan untuk anak-anak dan keluarga.

Malah, tidak pernah wujud perasaan malu memakai t-shirt sebagai pemandu lori walaupun dulu segak menyarungkan seragam juruterbang.

Sesetengah pelanggan mengetahui pekerjaannya sebelum ini sebagai juruterbang dan mereka turut gembira dengan apa yang Izzat Hakimi lakukan.

Katanya lagi, beliau akan meneruskan perkhidmatan penghantaran lori walaupun industri penerbangan akan kembali pulih. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2020/11/03/gerai-kapten-azrin-bekas-juruterbang-malindo-curi-perhatian-warganet/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here