Program vaksinasi di seluruh dunia tunjuk kesan positif, kes turun mendadak

0
1

PROGRAM vaksinasi bagi tangani Covid-19 di seluruh dunia telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata sebanyak 193 juta dos vaksin telah dilaksanakan di 87 negara dengan purata setiap hari 6.45 juta dos disuntik.

Katanya, di negara yang telah lebih dua bulan memulakan program vaksinasi, angka jumlah kes baharu Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan angka kematian menurun dengan mendadak.

“Kesan sampingan yang teruk (anaphylaxis) sangat minima sekitar 0.0003-0.0004 peratus. Tiada kes kematian yang disahkan berkaitan langsung berpunca vaksin Covid-19 setakat 193 juta dos hari ini.

“Ini memberikan sinar harapan kepada seluruh dunia bahawa pandemik Covid-19 Insya-Allah akan dapat diatasi dengan kebanyakan negara mula meletakkan sasaran mencapai imuniti kelompok di negara masing-masing.

“Sudah tentu mengambil sedikit masa sebelum gaya hidup boleh dikembalikan kepada kehidupan biasa. Prosedur operasi standard (SOP) hendaklah terus diamalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Amzad berkata jika pandemik Covid-19 dapat dikawal, kegiatan ekonomi boleh kembali rancak, sekali gus kemakmuran hidup boleh dikembalikan.

Beliau menambah, kejayaan itu tentulah dengan ikhtiar dan pelbagai usaha dilakukan terutamanya program imunisasi Covid-19 yang menjadi agenda utama seluruh dunia.

Bagi umat Islam, katanya yang mutlak adalah dengan ketentuan Allah SWT jua namun amat malang jika masih berpendirian negatif dengan ikhtiar yang penting ini.

“Lebih-lebih lagi jika mahu kaitkan dengan “Islam”. Sedangkan fatwa, kesepakatan ulama sangat jelas dalam soal ini.

“Ketika pandemik Covid-19 berjaya dikawal suatu hari nanti, ikhtiar dan perjuangan melawan virus ini akan menerima kesaksian seluruh dunia.

“Ia kolaborasi besar, kerjasama pelbagai negara, perkongsian maklumat saintifik, kemudahan pengeluaran dan pengilangan, kawal seliaan sehingga ia dijayakan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang bersikap negatif dan merungut tanpa ikhtiar serta usaha yang jelas menangani Covid-19 akan dipersoalkan apa peranan yang disumbangkan.

“Bagaikan ketika negara diserang musuh, semua orang ke medan juang, kita pula bertelagah pertikai semua perkara. Ketika semua pulang dari medan dengan kejayaan, kita ni dah jadi apa sebenarnya?

Dalam sejarah ketika era kegemilangan Islam, Islam sentiasa tampil menyerlah menyelesaikan dan menyelamat kan permasalahan dunia.

Untuk bencana Covid-19, saintis Islam mencipta Vaksin Pfizer- Biontech yang punyai keberkesanan paling tinggi 95%.

“Jika kita belum mampu jadi sebahagian dari kejayaan ini nanti, jangan letakkan imej Islam sebagai penghalang kononnya atas retorik agenda Yahudi, Illuminati atau macam macam lagi,” katanya lagi. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/20/lebih-7000-anggota-bomba-terima-vaksin-fasa-pertama/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here