POLIS Pulau Pinang hari ini menyiarkan lakaran seorang suspek yang dipercayai terbabit kes menyembunyikan seorang bayi lelaki dalam tong dalam kejadian samun di rumah flat Jalan Van Praagh, Jelutong, Isnin lalu.
Seorang lagi rakan jenayah suspek yang turut terbabit dalam kes samun berkenaan juga diburu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu sebelum ini menyamar wakil syarikat kurier ketika menyamun mangsa dalam kejadian jam 10.30 pagi.
Menurutnya, hasil daripada keterangan mangsa, polis telah mengedarkan lakaran wajah salah seorang suspek yang terlibat untuk dikesan.
“Setakat ini kita sedang meneliti sistem rakaman litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan lif flat berkenaan bagi mengesan indentiti suspek terbabit.
“Kita difahamkan, suspek naik ke rumah mangsa di aras lima dengan menggunakan tangga bagi elak dikesan atau dikenalpasti pihak berkuasa,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Soffian berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek menerusi lakaran wajah yang diedarkan pada Jumaat diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).
Media sebelum ini melaporkan seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga bulan hilang selepas disorokkan oleh dua penyamun yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier.
Suspek dikatakan bertindak demikian selepas mereka gagal memperolehi wang sebanyak RM50,000 seperti yang dimahukan.
Bayi lelaki berkenaan akhirnya ditemukan dalam keadaan mulutnya disumbat dengan tuala kecil dan ditampal pita pelekat di dalam tong di bilik rumah mangsa kira-kira sejam kemudian. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/gagal-dapat-wang-penyamun-sumbat-mulut-bayi-sorok-dalam-tong/

