Sesi persekolahan bermula Mac depan

0
2

MENTERI Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka secara berperingkat bermula Mac depan.

Untuk sesi persekolah bagi murid pra sekolah, murid tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac 2021.

Manakala, sesi persekolahan murid tahun tiga, empat, lima dan enam bermula 8 Mac 2021.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, sesi persekolahan akan bermula selepas tamat cuti pertengahan penggal, iaitu 5 April.

Menurut Mohd Radzi, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan sesi persekolahan bagi pelajar pra sekolah, tahun satu dan tahun dua terlebih dulu adalah untuk memberi pendedahan berhubung prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di sekolah.

“Khususnya anak-anak yang baru masuk tahun satu. Ini bagi memberi ruang kepada guru-guru untuk membiasakan anak-anak ini dengan SOP baharu di sekolah. Selain guru-guru bersama ibu bapa mencari kaedah terbaik bagi penilaian anak-anak pada akhir persekolahan.

“Bagi pelajar sekolah menengah pula bermula 4 April untuk kumpulan satu iaitu di Terengganu, Kelantan, Johor dan Kedah. Sementara, kumpulan dua pula akan bermula pada 5 April 2021,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Beliau berkata, sehubungan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Febuari ini, SOP yang dikuatkuasa amat ketat bagi memastikan calon dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan selamat.

Katanya, sebagai persediaan menghadapi SPM, tambahan dewan peperiksaan dan dewan alternatif amat diperlukan.

“Oleh kerana keperluan logistik untuk menyediakan dewan tambahan, KPM mengambil keputusan semua murid sekolah menengah akan kembali ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan penggal,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, tarikh pembukaan sekolah yang sama juga akan digunapakai bagi sekolah rendah dan menengah swasta.

Manakala, bagi sijil vokasional dan diploma vokasional tahun satu (semester 2) bagi Kolej Vakasional akan dibuka pada 1 Mac 2021, dan semua peringkat lain akan bermula pada 8 Mac 2021. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here