Rangka SOP sesuai, buka semula sesi persekolahan bersemuka – Puteri Umno

0
2

PUTERI Umno mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula 20 Januari lalu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata ini kerana pihaknya menerima terlalu banyak luahan daripada ibu bapa yang terpaksa akur dengan keputusan kerajaan tidak membuka persekolahan bagi sesi bersemuka susulan situasi semasa Covid-19.

“Namun setiap kesulitan yang diluah mereka juga punya asas. Itu cabaran yang dilalui bagi suri rumah, cuba bayangkan bagaimana pula bagi ibu yang bekerja atau berniaga kecil-kecilan?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Zahida berkata, dalam berhadapan dengan situasi sukar ini, ramai ibu turut terpaksa bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga selepas pendapatan suami terjejas akibat gaji dipotong 30 hingga 50 peratus.

“Turut bersimpati apabila ada ibu mengadu yang beliau rasa sedih dan stress apabila tidak dapat luang masa memantau anak ketika PdPR.

“Lebih menyedihkan bila ibu berkenaan terpaksa berhenti kerja kerana mahu fokus memantau sesi persekolahan anak anak di rumah.

“Ini bukanlah satu langkah penyelesaian yang baik untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila dilaporkan ada ibu bapa terpaksa meminjam ah long kerana ketiadaan wang untuk membeli gajet bagi anak menjalani PdPR.

“Situasi ini menunjukkan bermacam-macam kesulitan dan masalah yang akan wujud berbanding kebaikan kepada anak-anak dan ibu bapa.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah mendapatkan pandangan lebih ramai pakar bagi merangka SOP paling bersesuaian untuk buka semula sesi persekolahan secara bersemuka,” katanya.

Zahida berkata, ia boleh dilaksanakan dengan mewujudkan SOP ketat iaitu separuh kapasiti pelajar dalam satu kelas pada tiap sesi persekolahan atau sesi persekolahan ‘bergilir’ tiga atau dua hari sahaja dalam seminggu mengikut kesesuaian.

“Walau bagaimanapun tetaplah keselamatan, kesihatan anak-anak dan semua warga pendidik yang paling utama, dengan langkah-langkah serta persiapan rapi daripada semua pihak, kami yakin sesi kelas bersemuka dapat dijalankan dengan selamat,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/mtuc-desak-tangguh-perbaiki-pdpr/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here