Pengimarahan masjid dibenarkan di kawasan PKPB – JAWI

0
1

AKTIVITI pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan kini dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata pelaksanaan itu dibenarkan berdasarkan perkembangan terkini situasi Covid-19.

“Berdasarkan perkembangan terkini serta perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuat ketetapan untuk membenarkan pelaksanaan aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan PKPB di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, aktiviti yang dibenarkan adalah seperti berikut :

A. Tazkirah dan zikir munajat selepas solat Maghrib hingga masuk waktu Isyak setiap hari secara berselang-seli dengan mengehadkan bilangan jemaah kepada 50 peratus kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

B. Kuliah Subuh selama tidak melebihi 30 minit dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

C. Majlis akad nikah dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

D. Mengadakan solat hajat, bacaan Yaasin, Doa Munajat dan Tahlil setiap malam Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

E. Mengadakan solat hajat selepas Maghrib pada setiap malam dan selepas solat Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Beliau berkata, bilangan jemaah dan lain-lain ketetapan di semua masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan PKP pula masih tertakluk dengan ketetapan yang dilaksanakan sebelum ini.

“Hanya perubahan terhadap jumlah kehadiran ketika majlis akad nikah sahaja iaitu tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Marilah kita semua mempertingkatkan amal ibadah serta terus beristiqamah di dalam mengimarahkan masjid dan surau,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here