HILANG kawalan dan melanggar tembok menyebabkan seorang penghantar makanan Food Panda maut di Bulatan Perbandaran berdekatan Balai Bomba Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian jam 9.10 malam itu, Muhamad Haiqal Faiz Shaffre, 19, mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasaran awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Bandar Baru Nilai menuju ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Sampai di tempat kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok bahagian tengah bulatan dan jatuh di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fazley berkata, siasatan dijalankan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan maut itu adalah kejadian kedua berturut-turut membabitkan penghantar makanan selepas seorang penghantar makanan syarikat yang sama meninggal dunia setelah dilanggar sebuah kereta dipandu warga emas dalam kejadian di Jalan AST 6, dekat Nilai, malam kelmarin. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/penghantar-makanan-maut-dirempuh-lori-laju/

