Projek baharu PPR dijenamakan sebagai Rumah Malaysia

0
4

PELAKSANAAN Program Perumahan Rakyat (PPR) akan ditambah baik dengan menjenamakan semula inisiatif itu sebagai Rumah Malaysia bagi projek baharu yang dibangunkan tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dasar itu akan menyaksikan beberapa aspek ditambah baik bagi meningkatkan taraf hidup penghuninya yang terdiri daripada golongan B40.

Katanya, dalam tahun ini, sebanyak 11 projek Rumah Malaysia akan dibangunkan di seluruh negara membabitkan 4,120 unit kediaman, tiga daripada projek berkenaan terletak di Johor.

“Antara penambahbaikan itu adalah keluasan lantai Rumah Malaysia tidak boleh kurang daripada 900 kaki persegi, perlu dilengkapi fasiliti yang lengkap serta kadar sewa yang diselaras.

“Langkah ini dibuat kerana kita faham sudah tiba masanya rakyat Malaysia dapat rumah lebih besar bagi meningkatkan keselesaan dan mutu hidup mereka.

“Peningkatan mutu hidup ini sekaligus akan dapat melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Beliau menjelaskan, projek Rumah Malaysia juga perlu dilengkapkan dengan pelbagai fasiliti seperti rumah ibadat, taman awam, dewan orang ramai dan lain-lain bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan kondusif selain turut memastikan kewujudan jawatankuasa penduduk yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan.

“Bagi mengelakkan rumah ini tidak berpenghuni, KPKT menetapkan syarat ia perlu didiami dalam tempoh tiga bulan oleh pemohon yang layak.

“Sementara itu, mereka diberikan tempoh sewa selama dua tahun untuk menguruskan pinjaman bank dan sebagainya bagi membeli kediaman berkenaan,” katanya.

Zuraida berkata, jika dalam tempoh itu mereka masih gagal mendapatkan pinjaman bank, kerajaan negeri harus mengambil keputusan sama ada memberi tempoh lanjutan sewaan atau mencari pemohon baharu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here