Khidmat e-Filing taksiran 2020 bermula Mac ini

0
3

PEMBAYAR cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2020 dan Tahun Taksiran 2020 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT,MT, TF dan TP bermula 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini, berkata sistem e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my (http://www.hasil.gov.my/) dan terus ke ‘MyTax’, seterusnya ke ‘Perkhidmatan ezHasil’ dan ‘e-Filing’.

Bagi pembayar cukai mendaftar masuk buat kali pertama, mereka perlu mendapatkan nombor PIN terlebih dulu dengan hadir di kaunter cawangan LHDN atau secara dalam talian menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.

Manakala bagi yang terlupa kata laluan, mereka boleh menetapkan semula kata laluan baharu melalui e-mel atau nombor telefon bimbit berdaftar dengan LHDN.

Mereka yang menghadapi masalah, boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (untuk yang berada dalam negara) dan 603-8911 1100 (di luar negara) atau mengunjungi kaunter perkhidmatan LHDN berdekatan.

LHDN menjangkakan hampir 530,000 borang E Tahun Saraan 2020 akan diterima daripada majikan berdaftar, manakala sekitar 3.27 juta borang BE, B, BT, M dan MT, diterima daripada individu mempunyai rekod Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Ansuran CP500 bagi 2020.

Maklumat lanjut mengenai Program Memfail Borang Nyata bagi 2021 boleh didapati di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2021_1.pdf. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here