Gila talak makan dalam, diri boleh merana, sindir bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau memberi respon itu merujuk kenyataan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertajuk, “Agak luar biasa jika Bersatu sertai Muafakat Nasional”.
Ahmad Shabery berkata, sekiranya sudah ‘bercerai’ adalah lebih baik melupakan sahaja pasangan lama.
“Kalau sudah bercerai lupakan sahaja pasangan lama. Biarlah dia memilih pasangan baru dan mencari kehidupan yang lebih bahagia.
“(Orang) gila talak (ini) makan dalam. Diri boleh merana,” katanya menerusi hantaran akaun Facebooknya.
Dalam kenyataan itu, Mukhriz dilaporkan berkata, keputusan bekas partinya untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) sebagai perkara luar biasa.
Bagi bekas Menteri Besar Kedah itu menyatakan, amalan yang biasa diamalkan adalah Perdana Menteri menjadi pengerusi kepada gabungan politik yang terbesar.
Namun, ujarnya, beliau tidak tahu adakah MN akan bersetuju mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam gabungan itu jika diterima masuk.

