Ini sebab Armada kena boo – Puad Zarkashi

0
3

Ahli Majlis Tertinggi, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui ‘tidak cantik’ mendengar wakil Armada kena ‘boo’ pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Apatah lagi, katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata mesti ada sebab musabab wakil Armada diperlakukan sedemikian pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, sebenarnya hadirin majlis berkenaan meluat melihat pemimpin Armada suka lepas cakap dan ‘show off’ (menunjuk-nunjuk).

Tingkah laku beberapa pemimpin muda Bersatu itu, katanya boleh menjejaskan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN), contohnya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

“Semasa berkempen jawatan Ketua Armada PPBM, Umno jadi “punching bag” beliau. Dia juga dicemuh kerana berjanji gunakan jawatan untuk bantu kawan kawan. “Itu gunanya jawatan” dakwa Wan Fayshal.

“Tetapi “untuk bantu kalian, bantulah saya juga. Menangkan saya. Undilah saya calon Ketua Armada nombor 01” mintanya.

“Itu bukan rasuah? Yang lucunya, Wan Fayshal dakwa, Bersatu adalah parti keberkatan. Sebab itu dalam tempoh tiga tahun PPBM dapat dua Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Fayhsal yang menang jawatan Ketua Armada pada pemilihan parti itu, Mohd Puad menyindir dengan menyatakan semoga menang kerana keberkatan.

“Peliknya, dia (Wan Ahmad Fayhsal) mengaku kekuatan PPBM bergantung kepada populariti Muhyiddin. Bermakna PPBM bukan parti akar umbi.

“Kalau begitu bolehkah Bersatu bertahan lama? Apa guna dapat 2 PM kalau cawangan boleh dikira dengan jari. Mana keberkatannya,” katanya.

Beliau turut menamakan Ketua Armada Tanah Merah, Ridhwan Nordin yang gambarnya tular menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham.

“Tujuannya ialah untuk berkempen pemilihan parti PPBM. Semua itu menjejaskan imej kerajaan PN. Sebab itu kena boo.

“Jangan kerana “nila setitik rosak susu sebelanga”. Kena boo dalam majlis BN ok lagi. Jangan nanti rakyat yang “boo”. Hilang keberkatan,” katanya.