Kanak-kanak 3 tahun antara korban Covid-19 hari ini

0
2

JUMLAH kematian baharu akibat Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah 25 kes, tertinggi pernah dilaporkan setakat ini dengan keseluruhan kumulatif kematian ialah 1,030 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada kes kematian baru itu antaranya adalah membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sekali gus menjadi mangsa termuda yang meninggal dunia akibat wabak itu hari ini.

Mangsa tertua yang meninggal dunia adalah wanita warga emas berusia 100 tahun di Hospital Shah Alam dengan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, jantung, anemia, strok dan buah pinggang kronik.

Mangsa termuda itu pula adalah kes ke-1,027, disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dengan mempunyai latar belakang penyakit barah otak.

Secara keseluruhan, kes kematian itu adalah membabitkan warga emas berusia 60 hingga 100 (20 kes), usia 40 hingga 58 (empat kes) dan kanak-kanak perempuan terbabit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian hari ini membabitkan 15 di Selangor, masing-masing tiga di Sarawak dan Sabah, dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta satu kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Sebanyak 21 kes kematian adalah membabitkan warganegara dan empat kes lagi bukan warganegara.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here