Nurul Huda Abhar
LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) sedang mencari seorang pesakit wanita penghidap kanser payudara tahap empat yang menghilangkan diri daripada wad di hospital.
Difahamkan, penyakit kanser yang dihidapi wanita itu sudah berada di tahap empat dan kini sel kanser semakin merebak ke tulang dan bahagian mukanya.
“Usaha mencari bagi membantu seorang wanita penghidap sakit kanser payudara tahap empat masih belum berhasil. Hasil kerjasama dengan pihak Hospital Selayang, Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor telah menerima info mengenai seorang pesakit yang memerlukan bantuan.
“Doktor pakar telah mengesahkan bahawa kanser pesakit tersebut sudah di peringkat tahap empat dan kini sel kanser semakin merebak ke tulang dan bahagian mukanya dan beliau hanya seorang diri di hospital kerana keluarga berada di utara tanah air,” katanya di hantaran Facebook (FB) rasmi LZS, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihaknya berusaha untuk membantu pesakit tersebut namun keadaan menjadi sukar apabila wanita itu bertindak menghilangkan diri daripada wad.
Kenyataan itu turut memberitahu ada menghubungi ibu bapa pesakit yang kini berada di utara tanah air, dan melalui maklumat diperolehi didapati wanita tersebut adalah seorang ibu tunggal mempunyai dua orang anak yang berada di bawah jagaan ibu bapanya.
“Kanser semakin merebak akibat keengganannya menjalani prosedur rawatan yang telah ditetapkan. Pihak hospital juga telah menyediakan berbagai bantuan termasuk memanjangkan bil rawatan kepada Majlis Kanser Negara untuk dibantu, namun beliau tidak memberikan kerjasama.
“Usaha masih diteruskan untuk menjejaki beliau kerana matlamat utama kami hendak menyantuninya. Mungkin atas faktor penyakit dan tekanan yang dihidapinya menyebabkan beliau bertindak sedemikian.
“Doakan semoga usaha ini dipermudahkan Allah. Zakat anda bermanfaat buat mereka yang memerlukan. ‘Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka’,” ujarnya.
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/zakat-selangor-bantu-warga-emas-ditinggalkan-di-surau/A

