KPM perlu lakukan revolusi digital dalam pendidikan – Tok Mat

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggunakan kesempatan dalam situasi pandemik Covid-19 untuk revolusi digital dalam pendidikan nasional secara besar-besaran.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukanlah perkara mudah di mana, kalangan guru tidak pernah disediakan untuk mengajar mod maya dan pelajar tidak pernah belajar dari rumah.

Katanya, ibu bapa juga rasa sangat terbeban apalagi dengan segala defisit prasarana, ketidakmampuan membeli peranti dan data serta pelbagai rintangan lain.

“KPM perlu menggunakan kesempatan ini untuk ‘reimagine’ dan merekayasa (reengineer) sektor pendidkan negara. Inilah masanya untuk kita memulakan revolusi digital dalam pendidikan nasional secara besar-besaran.

“Kita telah bereksperimen dengan pendidikan maya disemua peringkat selama setahun. Yakinlah pendidikan digital akan terus kekal dan menjadi paradigma baru sektor pendidikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keberkesanan serta kualiti PdPR mesti segera dipertingkatkan dengan mengalakkan guru dan murid berimaginasi dan meneroka segala kreativiti dengan sebebas-bebasnya.

“Inilah waktunya untuk membongkar segala idea, kreativiti, imaginasi dan penerokaan kaedah luar biasa dalam mengajar dan belajar.

“Namun pengajaran harus berlaku dan bukan sekadar hanya memberi tugasan dan pautan berkaitan. Tugas guru adalah mencerah, menjelas dan memberi kefahaman hakiki melalui ‘reevaluation, rethinking and reimagination’,” katanya.

Mohamad berkata, ketika ini KPM perlu menyantuni sebaiknya segala keluhan ibu bapa dan yakinkan mereka bahawa pendidikan PdPR sebegini adalah satu-satunya pilihan waktu ini.

“Tanpa pembelajaran sebegini, kerugian adalah pada masa depan anak-anak kta. Segerakan agihan laptop dan peranti percuma kepada pelajar kurang berkemampuan dan sediakan kuota internet percuma setiap hari agar tiada siapapun akan tercicir dan tertinggal.

“Tiada harga yang mahal untuk mendidik anak bangsa kerana nilai kejahilan itu jauh lebih mahal,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/mtuc-desak-tangguh-perbaiki-pdpr/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here