KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mewakili seluruh petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan.
Ini kerana ia mendakwa pemberian one-off RM500 itu berat sebelah kerana membezakan kadar mengikut kelayakan.
Presidennya, Adnan Mat, menyifatkan pemberian bantuan itu hanya indah khabar dari rupa kerana bantuan tersebut mempunyai kadar dan kelayakan yang sangat berbeza berbanding yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.
Menurutnya, melalui surat edaran yang dikeluarkan KKM pada 11 Februari lalu, kadar dan kelayakan bagi pemberian one-off telah ditetapkan kepada kadar penuh RM500 dan kadar separuh RM250.
“Namun, petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas Covid-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih manakala mereka yang menerima elaun kurang tiga bulan atau kadar separuh hanya layak menerima kadar separuh RM250.
“Lebih mengecewakan lagi petugas barisan hadapan ini ialah apabila mereka perlu membuat tuntutan one-off ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan.
“Tindakan KKM ini bukan sahaja boleh menyebabkan semangat perjuangan barisan hadapan luntur, malah memberi tanggapan negatif kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, tindakan membezakan pemberian one-off ini kepada dua kadar yang berbeza hanya bersandarkan kepada status penerima Elaun Khas Covid-19 ini adalah tidak adil.
“Walaupun petugas itu tidak mendapat tuntutan penuh Elaun Khas Covid-19, ia tidak bermaksud sumbangan petugas ini kurang.
“Perlu diingat apabila pandemik melanda, ia telah menyebabkan penambahan beban tugas kerana tugas hakiki perlu juga diutamakan selain tugas berkaitan Covid-19.
“Sebagai contoh petugas barisan hadapan perlu digilirkan untuk memastikan mereka mempunyai masa untuk merawat kes yang lain serta mengelakkan keletihan melampau,” katanya.
Tambahnya, pengiliran tugas itu menyebabkan jumlah hari mereka bertugas mungkin tidak sampai 15 hari untuk melayakkan mendapat tuntutan penuh Elaun Khas Covid-19.
Justeru itu, katanya, CUEPACS menggesa agar KKM membuang semua syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan dalam pemberian one-off ini kepada petugas barisan hadapan.
“CUEPACS berpendapat semua petugas KKM yang dikategorikan sebagai barisan hadapan dan telah bertungkus lumus dalam menangani pandemik Covid-19 layak diberi RM 500 tanpa mengambil kira syarat tambahan.
“KKM perlulah menyerahkan kuasa kepada ketua jabatan untuk menentukan siapakah barisan hadapan yang layak untuk menerima one-off RM500 terutama pasukan barisan hadapan yang telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing untuk bertugas sebagai frontliner.
“Sudahlah pemberian Elaun Khas Covid-19 penuh dengan dokumentasi dan pelbagai syarat sehingga petugas barisan hadapan merasa malas untuk menuntut elaun berkenaan.
“Kini pemberian one-off yang telah diumumkan untuk diberikan kepada semua petugas barisan hadapan KKM juga mahu diremehkan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, CUEPACS berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera agar petugas barisan hadapan ini, dapat memberi fokus kepada khidmatnya kepada rakyat dan negara. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/02/jangan-sensasikan-isu-saiz-perkhidmatan-awam-cuepacs/

