KERAJAAN digesa berpegang kepada perkara yang diputuskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 untuk menguatkuasakan dasar umur layak mengundi 18 tahun.
Ini susulan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang didakwa seperti cuba berdalih dengan dakwaan kononnya pindaan Perkara 119 (1) yang diluluskan di Parlimen dibuat tergesa-gesa dan bermotifkan politik.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pihaknya melihat tiada alasan kukuh untuk mana-mana pihak berganjak daripada keputusan yang dicapai sebulat suara oleh seluruh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan menafikan hak warga Malaysia yang sudah mencapai usia 18 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“ABIM menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mendakwa rakyat Malaysia berumur 18 tahun masih mentah dan belum bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya.
“Ketika mereka yang berusia 18 tahun sudah boleh bekerjaya, menganggotai ketenteraan, berkahwin dan sebagainya seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang, adalah tidak masuk akal apabila ada pihak yang mempersoal kematangan mereka untuk membuat pilihan menentukan nasib negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Faisal berkata, apabila mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk bekerjaya, sudah pasti mereka termasuk dalam golongan yang berkelayakan membayar cukai kepada negara.
Justeru, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terbabit dalam memilih pemimpin negara sebagai ruang semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan menggunakan cukai yang mereka bayar.
“ABIM menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membentangkan kepada rakyat laporan perkembangan terkini pelaksanaan had umur mengundi yang baharu agar rakyat khususnya anak muda dapat memastikan mereka dibenarkan mengundi dalam PRU akan datang,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/10/20/covid-19-abim-tolak-pilihan-raya-mengejut/

