NAMPAKNYA misteri ketukan yang pernah menghantui penduduk Sabak Bernam, sudah berhijrah ke seberang laut ke wilayah Lampung, selatan Pulau Sumatera, Indonesia.
Berdasarkan laporan Radar Lampung, ketukan yang pernah berlaku di Malaysia itu dilaporkan berlaku di Indonesia, semalam.
Kejadian ketukan misteri yang bermula selepas waktu maghrib dan melibatkan kediaman seorang wanita itu meresahkan penduduk pekan Kota Agung Timur dan Kota Agung Tanggamus.
Agensi melaporkan Ketua Polis Daerah Kota Agung, Asisten Komisioner Muji Harjono bagaimanapun menafikan kejadian itu ada kaitan dengan unsur mistik seperti tular di media sosial.
“Polis menolak kemungkinan wujud unsur mistik dalam hal ini. Kami telah memeriksa rumah salah seorang penduduk Kota Agung Timur yang mendakwa rumahnya menjadi sasaran gangguan.
“Pemilik rumah bernama Sunayah itu dipercayai mengalami ketakutan melampau kerana hanya tinggal berdua dengan anaknya,” jelas Muji.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat setempat.
“Jangan sebarkan maklumat menerusi media sosial kerana cara itu tidak menyelesaikan masalah dan akhirnya hanya menimbulkan kekecohan serta ketakutan orang ramai,” tegas Muji.
Tambahnya, pasukan bersepadu Polis Tanggamus dan Polis Kota Agung telah meningkatkan rondaan malam bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap penduduk kampung.
“Aktiviti rondaan malam akan terus dipergiat oleh pasukan keselamatan dan saya berharap agar kehadiran mereka dapat membuatkan masyarakat berasa lebih tenang,” jelas Muji. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/05/tiada-lagi-ketukan-misteri-di-sabak-bernam/

