FDI jatuh 68%, kerajaan perlu berani, kena ada ‘political will’ – Zahid

0
2

KERAJAAN perlu perlu berani dan bersedia untuk duduk berbincang dengan pelabur dan pemain industri, dalam menarik semula minat pelabur langsung asing bertapak di negara ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia penting susulan pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68 peratus ke AS2.5 bilion pada 2020 dan ‘tewas’ kepada negara jiran.

“Beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan ini. Perlu ada ‘political will’ yang kuat untuk ini.

“Kestabilan politik perlu dikembalikan segera selepas ancaman Covid-19 dapat ditangani.

“Proklamasi darurat dikhuatiri menyebabkan pelabur kurang yakin dengan kemungkinan dasar ‘nationalizing’,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata kerajaan juga perlu menawarkan insentif pengurangan cukai yang lebih menarik kepada perusahaan asing yang mahu beroperasi di negara ini.

Selain itu, katanya, memantapkan sektor domestik seperti pembuatan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan lain-lain, di samping kitaran ekonomi domestik yang sihat mampu menarik minat pelabur langsung asing.

“Dan paling penting kebajikan rakyat perlu diutamakan bagi memperlihatkan Malaysia destinasi yang selamat kepada pelabur,” katanya.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menunjukkan FDI Singapura cuma jatuh 37 peratus kepada AS58 bilion, Indonesia 24 peratus kepada AS18 bilion dan Vietnam 10 peratus ke AS14 bilion.

Ahmad Zahid berkata situasi itu menunjukkan Malaysia yang suatu ketika dulu antara ekonomi paling pesat di rantau ini kini ketinggalan berbanding negara jiran dalam perang ekonomi melawan Covid-19.

Malah katanya, jika dilihat pada graf sumber dari Bank Dunia dan unjuran MIER, penurunan yang agak ketara pada ekonomi Malaysia sebanyak 2.9 peratus pada tahun 2019-2020.

“Benar Covid-19 menguncupkan ekonomi global, tetapi kestabilan politik tunjang utama dalam menarik minat pelabur langsung asing bertapak di negara ini.

“Segan juga terbaca kenyataan Ketua Eksekutif Eurocham yang menyebut Malaysia memerlukan lebih dari beberapa kata-kata yang bagus dan ‘window dressing’,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/fdi-jatuh-azmin-perlu-jelaskan-kepada-rakyat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here